Tugasan Blog SYW
502
Tajuk: Hiburan
Berlebihan: Membangun atau Merosak Jiwa dan Minda Insan
Che Nurmahirah
Binti Che Ghaffar
Calon Sarjana
Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
PSM0047/12
Gejala
hiburan berlebihan semakin berleluasa pada masa kini seiring dengan kepesatan
perkembangan teknologi yang membolehkan manusia mengakses kepada pelbagai
bentuk hiburan. Perkembangan rangkaian teknologi tanpa wayar (wireless)
misalnya mendedahkan orang ramai terutamanya anak-anak muda kepada pelbagai
rangkaian laman sosial seperti facebook,
twitter, instagram, keek, blog dan sebagainya. Aplikasi yang popular seperti Youtube dan Dailymotion pula membolehkan capaian terus kepada pelbagai hiburan
sama ada video muzik mahupun filem-filem dalam dan luar negara yang boleh ditonton
secara dalam talian (online). Hiburan
di kaca televisyen, radio dan media cetak juga tidak ketinggalan dan tidak lekang
daripada menjadi kecenderungan anak-anak muda. Realitinya, anak-anak muda kini
semakin terdedah dengan lambakan hiburan yang bersifat melalaikan dan memberi
impak kepada jiwa dan akhlak mereka.
Menjengah
siaran-siaran di kaca televisyen, begitu banyak rancangan-rancangan hiburan
nyanyian atau tarian berbentuk realiti yang mendominasi jiwa anak-anak muda.
Rancangan-rancangan ini secara tidak langsungnya turut memaparkan percampuran
bukan muhrim, pendedahan aurat melalui pakaian yang menjolok mata dan tarian-tarian
yang mengghairahkan. Adakah perkara yang dipertontonkan ini dapat membangun
jiwa seseorang insan? Pada hakikatnya, sudah tentu anasir-anasir negatif ini tidak
membangun jiwa seseorang insan tetapi boleh meruntuhkan akhlak dan jiwa mereka
khususnya anak-anak muda. Hal ini kerana rancangan-rancangan ini menjadi faktor
kepada anak-anak muda taasub kepada hiburan, lalai dalam mengingati Allah, tidak
berminat dengan ilmu agama dan menambah titik hitam di hati apabila melihat
artis berpakaian terdedah.
Pendedahan yang berterusan dengan program-program
hiburan tersebut menjadikan jiwa dan minda mereka sempit dan terbatas dalam
lingkungan perkara-perkara berkaitan hiburan semata-mata. Malah, terdapat
segelintir anak-anak muda yang mengganggap artis sebagai idola mereka sehingga
bahan bacaan mereka terhad kepada mengikuti gosip-gosip artis di blog-blog picisan,
ruangan gosip di akhbar dan majalah-majalah hiburan. Perkara ini dilihat tidak
membangun jiwa dan minda mereka yang sepatutnya dibangunkan dengan kesedaran
rohani dan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Jiwa seseorang insan sepatutnya diisi
dengan selawat dan zikir-zikir mengingati Allah dan Rasul bukannya dipenuhkan
dengan hiburan lagu-lagu yang mengagungkan cinta kepada manusia melebihi cinta
kepada Pencipta. Hiburan yang berlebihan ternyata merosakkan jiwa anak-anak
muda. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan
janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang
berlebihan."
(Surah al-A'raaf, 7:31)
Selain
itu, rancangan realiti berbentuk nyanyian untuk golongan kanak-kanak juga
mendapat tempat di hati ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak
mereka untuk sesi uji bakat. Begitu ramai ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menjadi
penyanyi dan mereka bangga apabila anak-anak mereka berjaya masuk ke rancangan realiti
nyanyian. Ibu bapa dilihat menjadi penyebab anak-anak terjebak dengan
keruntuhan akhlak kerana tidak mencorak akhlak anak-anak dengan ilmu
pengetahuan agama. Sebaliknya, menggalakkan anak-anak yang masih belajar
menceburi bidang nyanyian. Apabila sudah dibuai dan hanyut dengan dunia glamor dan
kemewahan, apakah anak-anak ini masih ada semangat untuk belajar? Sudah pasti
mereka memilih untuk terus menjebakkan diri dalam dunia artis kerana menjanjikan
pendapatan yang lumayan berbanding kembali menyarung pakaian sekolah untuk
meneruskan pelajaran.
Dalam hal ini, ibu bapa boleh dipersalahkan memandangkan
mereka tidak menjadi contoh terbaik untuk anak-anak apabila menjerumuskan
mereka ke dunia hiburan. Rosaknya akhlak seseorang insan bermula daripada
contoh yang tidak baik.. Anak-anak tidak mungkin mengejar akhirat jika
pembangunan jiwa dan minda mereka terus disemai dengan hal-hal hiburan yang
penuh dengan kemaksiatan dan melekakan mereka. Ibu bapa seharusnya membangunkan
jiwa anak-anak berdasarkan panduan al-Quran dan sunnah supaya akhlak mereka
terdidik dengan nilai-nilai murni. Hal ini kerana akhlak sangat penting untuk
dibangunkan dan menjadi agenda utama dalam pembangunan insan. Oleh itu,
pembangunan jiwa dan akhlak seseorang insan itu bermula daripada rumah dan ibu
bapa perlu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak.
Berbalik
kepada siaran-siaran rancangan di kaca televisyen, selain rancangan hiburan nyanyian
berbentuk realiti, kecondongan anak-anak muda kepada drama-drama cinta yang
banyak disajikan di kaca televisyen juga tidak dapat dinafikan hakikatnya.
Drama-drama yang popular seperti “Love
You Mr Arrogant”, “Cinta Jannah”, “Setia Hujung Nyawa” dan sebagainya
mencatatkan angka tontonan yang tinggi. Plot yang berkisarkan mengenai cinta
antara lelaki dan perempuan yang sudah tentu diakhiri dengan pengakhiran cerita
yang bahagia menyebabkan jiwa dan minda anak-anak muda terarah kepada cinta
antara pasangan kekasih. Minda mereka mudah terkhayal untuk mendapatkan
pasangan yang sempurna seperti dipaparkan menerusi drama-drama tersebut. Lebih
buruk lagi apabila drama-drama tersebut bersiaran pada waktu Maghrib sehingga menyebabkan
anak-anak muda melengah-lengahkan solat atau lupa menunaikan kewajipan dan
tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t. Jika dinilai dari sudut pembangunan
jiwa insan, sudah tentu drama-drama yang ditonjolkan itu tidak membangun jiwa mereka
kerana meninggalkan impak yang buruk iaitu melalaikan hati mereka untuk
mengingati Allah.
Tidak
cukup dengan lambakan program-program yang dipaparkan di televisyen, radio juga
menjadi medium penularan hiburan yang berlebihan. Radio yang memainkan lagu-lagu
berunsur cinta dan jiwang mengakibatkan jiwa anak-anak muda mudah terusik dan menggalakkan
mereka menghabiskan masa untuk berkhayal memikirkan gerangan yang bakal menjadi
ratu hati mereka. Perkara ini langsung tidak membangun jiwa mereka yang
seharusnya memikirkan perkara yang lebih besar manfaatnya seperti isu
pembangunan ummah dan isu penindasan serta penderitaan rakyat di negara-negara
Islam Timur Tengah. Jiwa anak-anak muda yang dibadai dengan arus hiburan yang
berlebihan ini menyebabkan jiwa mereka kosong dengan ilmu pengetahuan agama.
Mereka menjadi dangkal dengan persoalan iman, taqwa, akidah, tauhid dan syariat
Islam. Mereka juga tidak pandai membaca al-Quran dan tidak mengetahui mengenai hablumminallah dan hablumminannas. Namun, jika dipersoalkan mengenai lagu-lagu terbaru
dari dalam dan luar negara pantas sahaja mereka mengingati tajuk lagu berserta
lirik-liriknya. Keadaan ini menggambarkan kesan negatif hiburan berlebihan yang
mematikan jiwa mereka untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t bagi mendapatkan
ketenangan. Perkara yang dapat menenangkan jiwa insan bukan dengan cara
berhibur secara berlebihan tetapi adalah dengan banyak mengingati Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“(Iaitu)
orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Surah al-Ra‘d, 13:28)
Kesimpulannya,
agama Islam tidak melarang kepada hiburan jika hiburan yang dinikmati dapat
membina jiwa dan minda generasi masa depan serta mengikut garis panduan yang
dilandasi syariat. Hiburan yang baik seeloknya tidak berlebihan dan membawa
mesej kesedaran kepada insan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah
s.w.t iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Hal ini selaras dengan
tujuan penciptaan manusia iaitu untuk menyembah Allah s.w.t sebagaimana firman
Allah s.w.t yang bermaksud:
“Aku
tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku”
(Surah
Az-Zariyyat, 51:56)