Thursday 18 October 2012

HUKUM MAKAN DAGING, ISI BELANGKAS DAN TELURNYA



Adakah belangkas halal dimakan atau haram dimakan? 
Menurut Ustaz Azhar Idrus, halal makan belangkas dengan telurnya kerana ia binatang laut dan tidak boleh hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang seperti ikan. Hanya naik sekejap ke darat.
RUJUKAN: Soal Jawab Ustaz Azhar Idrus (Original) Facebook





Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
     
  2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.
     

KISAH BIAWAK (DHAB) YANG BERIMAN




Diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wan-Nihayah bahawa dalam sebuah kisah yang disampaikan oleh Sayyidina Umar al-Khattab r.a. :

Rasulullah s.a.w. sedang berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dari Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah s.a.w. Beliau membawa bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya, dan bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan.

Melihat ramai yang berjalan itu, beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah gerangan yang sedang mereka iringi. Apabila diberitahu bahawa mereka sedang mengiringi Nabi, maka dia terus mendekati Nabi lantas berkata, “Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa, tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat mengembirakan hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam, putih dan merah serta selainnya!”

Sayyidina Umar al-Khattab menjadi marah, lalu bangkit dan berkata,”Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri hidupnya!”

Nabi s.a.w. tenang menjawab permintaan Umar r.a., “Wahai Umar! Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat menjadi Nabi?”

Nabi kemudian berkata kepada Arab Badwi itu,”Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian? Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”

Arab Badwi tersebut tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata, “Demi tuhan Latta dan Uzza! Aku takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman kepadamu,” katanya sambil mengeluarkannya ke hadapan Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w. memanggil biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dengan bahasa Arab yang fasih dan difahami oleh semua yang hadir, “Ya wahai Nabi s.a.w.!”

Nabi bertanya,”Kepada siapakah engkau beriman?”

Jawab biawak itu,”Saya beriman kepada Tuhan yang di langit itu ‘Arasy-Nya, di bumi itulah kekuasaan-Nya, dan di lautan itulah jalan-Nya, di Syurga itu rahmat-Nya, dan di Neraka itu azab-Nya!”

Tanya Nabi lagi,”Aku ini siapa wahai biawak?”

Jawab si biawak, “Tuan adalah utusan Allah, yang memiliki sekalian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!”




Mendengar kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata, “Wahai Muhammad! Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku, diriku sendiri, engkau amat kukasihi zahirku dan batinku.”

Kemudian beliau mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir :
“Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi adalah pesuruh-Nya.”

Lalu Rasulullah s.a.w. berkata, “Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan hidayah-Nya kepadamu, sesungguhnya Islam ini adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya, dan ia tidak diterima tanpa solat, dan solat pula tidak diterima melainkan dengan al-Qur’an.”

Jawabnya, “Kalau begitu ajarlah saya al-Qur’an itu, wahai Nabi.” Nabi pun mengajarkannya membaca surah al-Ikhlas.

Beliau berkata, “ Saya tak pernah mendengar kata-kata yang lebih hebat daripada ini!”

Nabi menambah, “Ini adalah perkataan Allah, bukannya sajak, jika engkau membaca surah al-Ikhlas ini sekali, ganjarannya di sisi Allah seumpama engkau membaca sepertiga dari al-Qur’an. Jika engkau membaca dua kali seumpama dua pertiga dari al-Qur’an dan jika engkau membaca tiga kali seumpama engkau telah membaca keseluruhan al-Qur’an."

Jawab Arab itu, “Tuhan itu adalah Tuhan kami, Dia menerima dari kita sedikit tapi membalasnya dengan banyak!”

Nabi bertanya kepadanya,”Adakah kamu memiliki harta?” Jawab beliau, “Tiada seorang pun dalam Bani Sulaim yang lebih miskin dari saya.”

Nabi bersabda kepada para sahabat, “Berikan kepadanya apa-apa yang kamu ada!”

Para sahabat memberikannya bantuan hinggakan dia mendapat harta yang amat banyak terkumpul. Kemudian Abdul Rahman bin Auf r.a berkata kepada Nabi, “Wahai Rasulullah!Saya memiliki seekor unta yang hamil 10 bulan, yang sederhana besarnya, saya perolehi dalam Perang Tabuk, sekarang saya hendak mendekatkan diri kepada Allah. Saya ingin menghadiahkannya kepada saudara baru kita ini!”

Nabi s.a.w bersabda, “Engkau menceritakan tentang untamu yang engkau telah hadiahkan padanya, sekarang aku akan menceritakan bahagianmu yang diberikan Allah sebagai balasan di akhirat. Allah s.w.t. akan menganugerahimu di akhirat unta yang diperbuat dari permata hijau, tengkuknya dari permata kuning memiliki pelana yang hebat dan ia akan melintasi titian sirat dengan pantas seperti kilat, semua orang akan merasa iri kepadamu pada Hari Qiyamat."

Kata Abdul Rahman, “ Saya redha dengannya wahai Nabi.”

Arab itu pun keluar dari kawasan itu. Sekonyong-konyong datang kaumnya dari Bani Sulaim seramai seribu orang menaiki seribu unta dan membawa bersama mereka seribu pedang dan lembing.

Dia bertanya, “Ke manakah haluan kamu? " Mereka menjawab, “Kami ingin memerangi orang yang menghina tuhan kita! Kata Arab Badwi itu kepada kaumnya, “Jangan! Aku sendiri telah beriman dengannya!” Lalu semua kaumnya beriman pada Rasulullah.


Friday 12 October 2012

HATI-HATI DENGAN BAHAN KIMIA DALAM KOSMETIK!!



Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), banyak barangan kosmetik yang dijual hari ini mengandungi campuran bahan kimia yang boleh menyebabkan barah, dan bahan-bahan ini boleh diserap melalui kulit. Satu kajian yang dilakukan oleh CAP mendapati bahawa sekurang-kurangnya 50 bahan kimia penyebab barah dalam 120 jenis produk kimia dan produk harian dijual hari ini. 





BAHAN KIMIA YANG PERLU DIELAK







Paraben (butylparaben, ethylparaben, methlyparaben, propylparaben, isobutylparaben, isopropylparaben)

  • Digunakan sebagai bahan pengawet di dalam kosmetik, produk penjagaan diri, produk farmaseutikal dan makanan anda.
  • Memasuki tubuh anda melalui kulit, darah dan sistem penghadaman.
  • Meningkatkan risiko kanser payudara secara mendadak.



Formaldehyde
  • Dibebaskan daripada sesetengah bahan pengawet yang digunakan di dalam kosmetik dan produk penjagaan peribadi.
  • Merangsang reaksi alahan dan juga ruam kulit.
  • Meningkatkan risiko penyakit leukemia dan kanser otak.


Logam Berat
  • Terdapat di dalam mekap, pelindung cahaya matahari, pewarna kuku dan ubat gigi pemutih. Termasuk raksa, plumbum, kadmium dan arsenik.
  • Membawa kepada gangguan sistem imunisasi yang serius, kerosakan otak dan kanser yang membawa maut.
  • Merosakkan sistem saraf utama, sistem endoktrin dan buah pinggang.

Sodium Laureth Sulfate (SLES) dan Sodium Lauryl Sulfaye (SLS)
  • Digunakan di dalam syampu, gel dan krim mandian, mandian bayi, ubat gigi, kumuran mulut dan produk-produk berbuih yang lain.
  • Sangat merangsakan kulit, paru-paru dan kulit kepala. Menyebabkan keguguran rambut dan menghalang pertumbuhan rambut.
  • Merosakkan mata, menyebabkan katarak pada orang dewasa dan menghalang pertumbuhan sempurna mata kanak-kanak.

KISAH NABI ISA DAN HIDANGAN DARI LANGIT


Suatu hari Nabi Isa a.s. berkata kepada kaumnya, “Berpuasalah kamu sekalian selama 30 hari, kemudian mintalah kepada Allah apa-apa yang kamu hajati. Allah pasti akan makbulkan permintaan kamu itu.”
Mendengar arahan itu, mereka pun berpuasalah. Setelah genap 30 hari, mereka berjumpa dengan Nabi Isa lalu berkata, “Hai Isa, kami telah buat apa yang kamu suruh. Buktikanlah Allah itu Maha Memberi.”
“Mohonlah kepada Allah,” jawab Nabi Isa.

Segera mereka berdoa kepada Allah. Seketika kemudian datanglah para malaikat kepada mereka dengan membawa meja makan. Di atas meja itu terhidang tujuh roti dan tujuh jenis lauk. Setelah malaikat itu pergi, kaum Nabi Isa pun membahagi-bahagikan makanan itu. Yang menghairankan ialah orang yang terakhir memakan hidangan itu dapat makan seperti orang yang pertama.
Di hari lain pula, ketika Nabi Isa a.s. selesai sembahyang sunat dua rakaat, beliau telah berdoa kepada Allah. Tiba-tiba turunlah hidangan berwarna merah dari langit, diapit oleh dua awan. Hidangan turun di hadapan Nabi Isa dan kaumnya. Melihatkan kejadian itu Nabi Isa a.s. menangis lalu berdoa: “Ya Allah, jadikanlah diriku termasuk orang-orang yang bersyukur dan jadikanlah hidangan ini sebagai rahmat dan janganlah Engkau jadikan hidangan ini sebagai bencana dan seksa.”
Kemudian Nabi Isa a.s. mengerjakan sembahyang sunat lagi. Setelah selesai baginda pun berkata sambil menangis: “Siapa di antara kamu ini yang paling bagus amalannya, berdirilah dan bukalah hidangan dan mulakan memakan hidangan ini.”
Berkata Syam`un, yang menjadi pemimpin orang-orang Hawariyyin: “Engkau adalah orang yang paling layak membuka hidangan itu.”

Sekali lagi Nabi Isa a.s mengerjakan sembahyang sunat, kemudian barulah baginda membuka hidangan tersebut dengan menyebut nama Allah.
Didapati ada seekor ikan panggang yang dihiasi dengan berbagai-bagai jenis sayur. Terdapat juga lima ketul roti. Di atas roti yang pertama ada buah zaitun, di atas roti yang kedua ada madu, roti ketiga ada minyak samin, roti yang keempat ada keju dan di atas roti yang kelima ada abon.
“Ya Nabi Isa, hidangan itu dari makanan dunia ataupun dari makanan akhirat?” tanya Syam`un.
“Tidak dari keduanya, tapi hidangan ini Allah ciptakan untuk kamu sekalian sebagaimana yang kamu mahukan. Oleh itu bersyukurlah, insya-Allah Dia akan menambahkan lagi anugerah-Nya kepada kamu,” jawab Nabi Isa a.s.
Dikatakan hidangan dari langit itu telah turun selama 40 hari, tetapi tidaklah turun setiap hari. Yang mengkagumkan ialah sesiapa memakan hidangan itu pasti mendapat keberkatannya. Misalnya orang yang sakit, segera akan sihat wal’afiat, dan jika orang-orang miskin memakan hidangan itu, menjadi kaya selama hidupnya.
Inilah salah satu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada kekasih-Nya Nabi lsa a.s.