Thursday 5 December 2013

Hiburan Berlebihan: Membangun atau Merosak Jiwa dan Minda Insan

Tugasan Blog SYW 502
Tajuk: Hiburan Berlebihan: Membangun atau Merosak Jiwa dan Minda Insan
Che Nurmahirah Binti Che Ghaffar
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
PSM0047/12


Gejala hiburan berlebihan semakin berleluasa pada masa kini seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi yang membolehkan manusia mengakses kepada pelbagai bentuk hiburan. Perkembangan rangkaian teknologi tanpa wayar (wireless) misalnya mendedahkan orang ramai terutamanya anak-anak muda kepada pelbagai rangkaian laman sosial seperti facebook, twitter, instagramkeek, blog dan sebagainya. Aplikasi yang popular seperti Youtube dan Dailymotion pula membolehkan capaian terus kepada pelbagai hiburan sama ada video muzik mahupun filem-filem dalam dan luar negara yang boleh ditonton secara dalam talian (online). Hiburan di kaca televisyen, radio dan media cetak juga tidak ketinggalan dan tidak lekang daripada menjadi kecenderungan anak-anak muda. Realitinya, anak-anak muda kini semakin terdedah dengan lambakan hiburan yang bersifat melalaikan dan memberi impak kepada jiwa dan akhlak mereka.

Menjengah siaran-siaran di kaca televisyen, begitu banyak rancangan-rancangan hiburan nyanyian atau tarian berbentuk realiti yang mendominasi jiwa anak-anak muda. Rancangan-rancangan ini secara tidak langsungnya turut memaparkan percampuran bukan muhrim, pendedahan aurat melalui pakaian yang menjolok mata dan tarian-tarian yang mengghairahkan. Adakah perkara yang dipertontonkan ini dapat membangun jiwa seseorang insan? Pada hakikatnya, sudah tentu anasir-anasir negatif ini tidak membangun jiwa seseorang insan tetapi boleh meruntuhkan akhlak dan jiwa mereka khususnya anak-anak muda. Hal ini kerana rancangan-rancangan ini menjadi faktor kepada anak-anak muda taasub kepada hiburan, lalai dalam mengingati Allah, tidak berminat dengan ilmu agama dan menambah titik hitam di hati apabila melihat artis berpakaian terdedah. 

Pendedahan yang berterusan dengan program-program hiburan tersebut menjadikan jiwa dan minda mereka sempit dan terbatas dalam lingkungan perkara-perkara berkaitan hiburan semata-mata. Malah, terdapat segelintir anak-anak muda yang mengganggap artis sebagai idola mereka sehingga bahan bacaan mereka terhad kepada mengikuti gosip-gosip artis di blog-blog picisan, ruangan gosip di akhbar dan majalah-majalah hiburan. Perkara ini dilihat tidak membangun jiwa dan minda mereka yang sepatutnya dibangunkan dengan kesedaran rohani dan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Jiwa seseorang insan sepatutnya diisi dengan selawat dan zikir-zikir mengingati Allah dan Rasul bukannya dipenuhkan dengan hiburan lagu-lagu yang mengagungkan cinta kepada manusia melebihi cinta kepada Pencipta. Hiburan yang berlebihan ternyata merosakkan jiwa anak-anak muda. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berlebihan."
                                   (Surah al-A'raaf, 7:31)

Selain itu, rancangan realiti berbentuk nyanyian untuk golongan kanak-kanak juga mendapat tempat di hati ibu bapa yang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka untuk sesi uji bakat. Begitu ramai ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menjadi penyanyi dan mereka bangga apabila anak-anak mereka berjaya masuk ke rancangan realiti nyanyian. Ibu bapa dilihat menjadi penyebab anak-anak terjebak dengan keruntuhan akhlak kerana tidak mencorak akhlak anak-anak dengan ilmu pengetahuan agama. Sebaliknya, menggalakkan anak-anak yang masih belajar menceburi bidang nyanyian. Apabila sudah dibuai dan hanyut dengan dunia glamor dan kemewahan, apakah anak-anak ini masih ada semangat untuk belajar? Sudah pasti mereka memilih untuk terus menjebakkan diri dalam dunia artis kerana menjanjikan pendapatan yang lumayan berbanding kembali menyarung pakaian sekolah untuk meneruskan pelajaran. 

Dalam hal ini, ibu bapa boleh dipersalahkan memandangkan mereka tidak menjadi contoh terbaik untuk anak-anak apabila menjerumuskan mereka ke dunia hiburan. Rosaknya akhlak seseorang insan bermula daripada contoh yang tidak baik.. Anak-anak tidak mungkin mengejar akhirat jika pembangunan jiwa dan minda mereka terus disemai dengan hal-hal hiburan yang penuh dengan kemaksiatan dan melekakan mereka. Ibu bapa seharusnya membangunkan jiwa anak-anak berdasarkan panduan al-Quran dan sunnah supaya akhlak mereka terdidik dengan nilai-nilai murni. Hal ini kerana akhlak sangat penting untuk dibangunkan dan menjadi agenda utama dalam pembangunan insan. Oleh itu, pembangunan jiwa dan akhlak seseorang insan itu bermula daripada rumah dan ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik untuk anak-anak.

Berbalik kepada siaran-siaran rancangan di kaca televisyen, selain rancangan hiburan nyanyian berbentuk realiti, kecondongan anak-anak muda kepada drama-drama cinta yang banyak disajikan di kaca televisyen juga tidak dapat dinafikan hakikatnya. Drama-drama yang popular seperti “Love You Mr Arrogant”, “Cinta Jannah”, “Setia Hujung Nyawa” dan sebagainya mencatatkan angka tontonan yang tinggi. Plot yang berkisarkan mengenai cinta antara lelaki dan perempuan yang sudah tentu diakhiri dengan pengakhiran cerita yang bahagia menyebabkan jiwa dan minda anak-anak muda terarah kepada cinta antara pasangan kekasih. Minda mereka mudah terkhayal untuk mendapatkan pasangan yang sempurna seperti dipaparkan menerusi drama-drama tersebut. Lebih buruk lagi apabila drama-drama tersebut bersiaran pada waktu Maghrib sehingga menyebabkan anak-anak muda melengah-lengahkan solat atau lupa menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t. Jika dinilai dari sudut pembangunan jiwa insan, sudah tentu drama-drama yang ditonjolkan itu tidak membangun jiwa mereka kerana meninggalkan impak yang buruk iaitu melalaikan hati mereka untuk mengingati Allah.  

Tidak cukup dengan lambakan program-program yang dipaparkan di televisyen, radio juga menjadi medium penularan hiburan yang berlebihan. Radio yang memainkan lagu-lagu berunsur cinta dan jiwang mengakibatkan jiwa anak-anak muda mudah terusik dan menggalakkan mereka menghabiskan masa untuk berkhayal memikirkan gerangan yang bakal menjadi ratu hati mereka. Perkara ini langsung tidak membangun jiwa mereka yang seharusnya memikirkan perkara yang lebih besar manfaatnya seperti isu pembangunan ummah dan isu penindasan serta penderitaan rakyat di negara-negara Islam Timur Tengah. Jiwa anak-anak muda yang dibadai dengan arus hiburan yang berlebihan ini menyebabkan jiwa mereka kosong dengan ilmu pengetahuan agama. Mereka menjadi dangkal dengan persoalan iman, taqwa, akidah, tauhid dan syariat Islam. Mereka juga tidak pandai membaca al-Quran dan tidak mengetahui mengenai hablumminallah dan hablumminannas. Namun, jika dipersoalkan mengenai lagu-lagu terbaru dari dalam dan luar negara pantas sahaja mereka mengingati tajuk lagu berserta lirik-liriknya. Keadaan ini menggambarkan kesan negatif hiburan berlebihan yang mematikan jiwa mereka untuk sentiasa mengingati Allah s.w.t bagi mendapatkan ketenangan. Perkara yang dapat menenangkan jiwa insan bukan dengan cara berhibur secara berlebihan tetapi adalah dengan banyak mengingati Allah s.w.t.  Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”    
                                                                                                           (Surah al-Ra‘d, 13:28)

Kesimpulannya, agama Islam tidak melarang kepada hiburan jika hiburan yang dinikmati dapat membina jiwa dan minda generasi masa depan serta mengikut garis panduan yang dilandasi syariat. Hiburan yang baik seeloknya tidak berlebihan dan membawa mesej kesedaran kepada insan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah s.w.t iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Hal ini selaras dengan tujuan penciptaan manusia iaitu untuk menyembah Allah s.w.t sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku”

                                                                                                    (Surah Az-Zariyyat, 51:56)